Thursday 26 April 2012

PERANAN MEDIA KOMUNIKASI DALAM MASYARAKAT HARI INI


            PENGENALAN
Di dalam arus peradaban dan tamadun dunia yang semakin hari semakin berkembang pesat, ia turut sama membabitkan perkembangan industri media dan teknologi dalam merancakkan arus modenisasi dunia hari ini. Perkembangan ini selanjutnnya memberi kesan dan impak yang sangat tinggi dalam kehidupan masyarakat madani hari ini. Kepada sesiapa yang tertinggal daripada menikmati dan terbabit dengan limpahan kemajuan teknologi, boleh diibaratkan sebagai golongan ‘katak di bawah tempurung’. Semua orang berlumba – lumba dalam mengejar kemajuan teknologi terutama yang melibatkan bidang komunikasi.

Media komunikasi secara amnya boleh dikalsifikasikan sebagai alat, bahan atau produk yang mengandungi mesej; maklumat atau ilmu pengetahuan yang diterbitkan ( dikeluarkan ) oleh pihak – pihak tertentu bagi tujuan berkomunikasi ( Musa Abu Hassan, 1996 ). Dewasa ini sejajar dengan perkembangan teknologi penerbitan, media yang mendominasi arus perkembangan komunikasi negara boleh dibahagikan kepada dua jenis sumber iaitu media cetak dan media elektronik. Salah satu barometer atau indikator pengukur akan kemajuan sesebuah masyarakat yang menunjukkan sistem komunikasinya sudah canggih adalah melalui peranan media massa ( A. Muis, 2001 ). Dengan kenyataan itu, membuktikan perkaitan rapat antara perkembangan dunia media massa hari ini sangat – sangat berkait rapat dan langsung dengan perkembangan teknologi masa kini. Manakala menurut Branston ( 2003 ), media dalam ilmu komunikasi diterjemahkan dari istilah Latin ‘medium’ yang beerti tengah atau perantara.

Teknologi komunikasi pula bolehlah disifatkan sebagai pencapaian atau modenisasi yang dialami dalam ketamadunan berkomunikasi itu sendiri. Ia sudah jauh berkembang dari abad ke abad. Dari zaman paleolitik hinggalah ke abad millinium ini, teknologi untuk berkomunikasi itu telah mengalami terlalu banyak perubahan dan penambah baikkan. Sistem jaringan untuk berkomunikasi itu sendiri telah dicapai dalam belbagai sudut dan bentuk. Ia bukan lagi hanya perhubungan lisan interpersonal yang melibatkan dua orang individu secara serentak. Ia telah berkembang dengan belbagai kaedah dan cara. Menurut Rogers ( 1991 ), teknologi komunikasi adalah alat perkakasan, struktur organisasi dan nilai – nilai sosial yang dialami oleh individu semasa mengumpul, memproses dan bertukar – tukar informasi dengan individu – individu lain.

Oleh yang sedemikian, kita dapat lihat hari ini bagaimana salah satu teknologi komunikasi yang telah berkembang dengan pesat iaitu penggunaan telefon yang mana penemuannya telah diasaskan oleh Alexander Graham Bell pada tahun 1876, ia telah berkembang daripada telefon berwayar kepada telefon tanpa wayar dan seterusnya kini sedang menuju ke arah penggunaan telefon maya yang mana teknologi ini akan diperkembangkan dari masa ke semasa. Inilah yang dimaksudkan bagaimana teknologi komunikasi itu mengalami perubahan demi perubahan.

Masyarakat menurut Kamus Dewan ( 1996 ) menyatakan bahawa masyarakat adalah sekumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan aturan dan cara hidup tertentu. Secara amnya, ia bolehlah disifatkan sebagai satu entiti yang mendiami sesebuah kawasan dan mengamalkan cara hidup dan budaya yang sama atau hampir sama. Ia sedikit demi sedikit akan mengalami proses asimilasi dan berkembang, membiak ke arah pola yang jauh lebih besar untuk membentuk sesebuah negara. Maka masyarakat ini pula akan berbentuk berpuak – puak dan berbilang bangsa serta kaum. Sebagaimana contoh negara kita Malaysia, ia merupakan sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk. Dengan itu, perkongsian idea dan proses interaksi itu akan menjadi lebih besar dan kompleks. Maka disinilah akan dilihat bagaimana media dan teknologi komunikasi itu saling berkaitan rapat antara satu sama lain dalam memudahkan proses komunikasi di dalam masyarakat. Proses interaksi di dalam masyarakat kini banyak didominasikan oleh perkembangan teknologi dan media.

Kita tidak lagi terikat dengan gaya komunikasi konvensional yang memerlukan interaksi dua hala secara bersemuka. Hari ini penggunaan Twitter, Facebook, talian bimbit, ruang chatting, emel dan perkongsian maklumat menerusi pelbagai sumber media massa telah menjadi satu fenomena dan kewajipan. Dari orang dewasa hingga kepada anak – anak disekitar umur 6 – 7 tahun, kebanyakkannya kini wajip mempunyai sebuah talian bimbit bagi tujuan komunikasi. Ini yang dinamakan sebagai teknologi komunikasi itu telah menular dan menjadi keutamaan dalam masyarakat hari ini. Persoalannya sekarang, bagaimana perkembangan teknologi komunikasi ini memberi sumbangan dan impak yang positif dalam pembangunan keluarga hari ini.



SUMBANGAN teknologi komunikasi kepada pembangunan keluarga.

Dewasa ini dalam usaha negara mencapai Wawasan 2020 dan matlamat Gagasan 1Malaysia, maka istilah – istilah ‘satu rumah satu komputer’, sebuah talian internet untuk setiap keluarga, program pemberian netbook percuma kepada pelajar tingkatan enam dan lima di setiap sekolah merupakan fenomena lazim yang sedang giat dijalankan oleh kerajaan dalam usaha melahirkan masyarakat yang celik IT. Ini membuktikan bahawa kemajuan talian komunikasi hari ini perlu selari dan sejajar dengan pemikiran dan keboleh serapan masyarakat hari ini untuk menerima kemajuan aplikasi – aplikasi tersebut. Usaha – usaha ini dijalankan agar kita tidak tertinggal dalam capaian menikmati perubahan teknologi komunikasi terutama sekali yang melibatkan internet yang mana semakin hari semakin pantas kemajuan dan teknologi yang dialami. Ini kerana kemajuan yang dikecapi oleh media dan teknologi komunikasi mempunyai kesan dan impak positif yang sangat jelas terhadap pembangunan keluarga hari ini.

memudahkan komunikasi antara keluarga
Diantara sumbangan teknologi komunikasi terhadap pembangunan keluarga ialah memudahkan komunikasi antara keluarga. Sebagaimana kita tahu, dalam komunikasi aspek terpenting ialah perhubungan interpersonal yang dilakukan. Sehubungan itu, kekerapan berkomunikasi antara keluarga akan mengeratkan lagi pertalian yang sedia ada. Sebagaimana contoh yang kerap dipaparkan melalui iklan – iklan menjelang perayaan Aidi Fitri. Iklan memaparkan walau jauh mana pun jarak seseorang anak, dengan kemudahan jaringan telekomunikasi hari ini, jarak tidak lagi menjadi satu kekangan atau halangan dalam interaksi. Anak masih boleh berhubung dengan kedua ibu bapa atau adik beradik yang lain melalui telefon atau pun sidang video melalui perisian web. Antara web yang menyediakan kemudahan berinteraksi secara sidang video di website ialah Yahoo.

Ini akan menghilangkan rasa rindu, mendekatkan jarak yang jauh dan mengeratkan talian kekeluargaan. Dengan nilai kos perkhidmatan yang murah, perisian yang senang untuk dikendalikan, teknologi komunikasi telah menjadi aspek penting dalam pembangunan keluarga hari ini terutama dari segi perhubungan. Paparan iklan itu merupakan realiti sebenar yang berlaku dalam masyarakat. Ibu bapa dan anak saling berhubungan. Walaupun berada jauh beribu batu atas dasar pekerjaan ataupun pembelajaran, tanggung jawap diantara keduanya dan ruang untuk berinteraksi masih mampu dilakukan dalam suasana yang mudah. Ini merupakan kesan yang paling ideal dan utama dalam mengutarakan kemajuan teknologi komunikasi terhadap pembangunan keluarga dalam masyarakat hari ini.

MEMANTAU AKTIVITI SOSIAL ANAK – ANAK
Fenomena akaun seperti facebook, twitter, tagged dan sebagainya sudah menjadi satu kemestian pada hari ini. Jaringan laman web sosial tersebut memudahkan interaksi antara masyarakat tidak kira sesama keluarga, kawan – kawan mahupun antarabangsa. Bahkan para pemimpin juga kini telah menggunakan pendekatan berkomunikasi melalui akaun – akaun sosial ini.

Sebagai ahli keluarga seperti ayah dan ibu, perlu untuk turut sama mengikuti dan memiliki akaun – akaun laman web sosial seperti anak – anak mereka. Melalui interaksi tersebut, akan memudahkan kedua orang tua untuk memantau dengan siapa anak – anak mereka berkawan. Ini penting kerana kini bermacam – macam gejala sosial yang melopori berita di dada – dada akhbar dan televisyen. Dan ada diantara kes – kes berkenaan yang melibatkan perkenalan melalui laman – laman sosial ini. Sehubungan dengan itu, mengikuti perkembangan pergaulan anak – anak adalah perlu dititik beratkan dalam usaha mengawal pergaulan mereka serta institusi kekeluargaan yang utuh.

            Berinteraksi dengan lebih kerap sesama ahli keluarga melalui laman web sosial ini juga akan menambahkan keeratan sesama sendiri selain sentiasa mengetahui status dan keadaan semasa diantara rakan saling. Bagi anak – anak yang berjauhan daripada keluarga, perhubungan melalui medium ini akan membuatkan mereka sentiasa dekat antara satu sama lain.

PERKONGSIAN MAKLUMAT DAN BERITA
Kemajuan yang dikecapi melalui perkembangan teknologi maklumat hari ini turut memudahkan perkongsian maklumat dan berita dalam usaha menambah ilmu pengetahuan. Proses pembelajaran anak – anak semakin mudah dalam mendapatkan maklumat tambahan selain apa yang mereka perolehi melalui pendidikan secara formal di sekolah dan institusi pengajian.

Rancangan seperti Channel Geografi di Astro, TV Pendidikan dan paparan berita – berita semasa merupakan input tambahan kepada anak – anak dalam perkembangan usia mereka. Ini dapat digunakan dalam usaha memberi mereka ilmu tambahan dalam nilai kos yang paling minimum.

INTERAKSI DALAM PENDIDIKAN
Satu lagi kesan positif yang sangat – sangat ketara dalam usaha memberi impak jelas dalam pembangunan keluarga ialah kemajuan teknologi komunikasi hari ini telah membolehkan ramai orang menikmati serta berupaya untuk belajar sepanjang hayat. Umum mengetahui bahawa tidak semua orang layak atau berpeluang untuk melanjutkan pelajaran pada usia muda. Program Pendidikan Jarak Jauh seperti yang dilaksanakan oleh UPM merupakan salah satu peluang yang tersedia luas untuk masyarakat hari ini melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Peluang ini dipermudahkan lagi hasil kemajuan dalam media dan teknologi komunikasi. Tidak perlu lagi pelajar belajar secara sepenuh masa. Mereka masih dapat ruang untuk bekerja dan pada masa yang sama mereka turut belajar.

Ironinya, masyarakat tidak perlu berpisah jauh daripada keluarga iaitu isteri/suami dan anak – anak dalam usaha mencapai cita – cita mereka. Ini akan mengelakkan keluarga terpisah untuk jangka masa tertentu dalam proses menghabiskan pelajaran mereka. Ini secara tidak langsung akan dapat membantu ketua keluarga yang mengejar cita – cita tetapi pada masa yang sama dapat memantau perkembangan ahli keluarga yang lain dan dapat mengekang masalah – masalah sosial yang akan timbul ekoran sekiranya kurang kawalan dan pengawasan. Ini semua dikecapi hasil daripada perkembangan yang berkesan dan baik dalam sektor teknologi komunikasi.

PEMBERI ATAU PENYEBAR MAKLUMAT
Liputan media serta jaringan telekomunikasi yang baik pada hari ini juga akan berinteraksi sebagai pemberi atau penyebar maklumat. Ini akan dapat dijadikan panduan dan pedoman dalam pembangunan keluarga. Maklumat – maklumat seperti penyakit, kesan jenayah dan anasir – anasirnya, boleh menjadi satu pembimbing atau peringatan kepada anak anak. Ini akan menghasilkan keluarga dan masyarakat yang peka kepada isu semasa dan keadaan persekitaran.

SEBAGAI WADAH HIBURAN
Media hari ini hasil daripada kemajuan teknologi maklumat turut menjadi satu wadah hiburan untuk seisi keluarga. Contoh paling mudah ialah pengenalan segmen Astro First yang dijalankan oleh pihak Astro iaitu penayangan filem – filem terkini dipanggung wayang melalui medium televisyen. Ini membolehkan seisi keluarga menonton bersama di rumah. Dapat mengelakkan anak – anak berpeleseran di panggung – panggung wayang. Ruang untuk bersama ini sebenarnya boleh digunakan untuk mengeratkan lagi talian kekeluargaan sedia ada dalam usaha pembangunan keluarga yang lebih ampuh dan mampan. Ruang untuk anak dan ibu bapa untuk bersama lebih terbuka dan luas.

KESIMPULAN
Keseluruhannya boleh disimpulkan bahawa kesan perubahan teknologi komunikasi hari ini telah memberi impak yang ketara terhadap perkembangan media massa. Ia turut memainkan peranan yang kuat sama ada dari aspek positif mahupun negatif. Jelasnya di sini, kesan yang baik akan memainkan peranan yang besar dalam aspek pembangunan keluarga terutama dalam usaha negara menanggani gejala sosial hari ini. Sering diperkatakan kesan buruk atau negatif pengaruh teknologi dan perkembangan komunikasi serta media hari ini, namun sangat jarang dan kurang kajian – kajian yang dilakukan bagaimana ia turut membawa kesan baik yang besar terutama dalam skop dan aspek pembangunan keluarga.

No comments:

Post a Comment