Thursday 26 April 2012

PETUA – PENJAGAAN RAMBUT


Rambut merupakan elemen yang terpenting dan sangat dititik beratkan penjagaannya tanpa mengira gender. Keikalan dan kecantikan rambut sering dikaitkan dengan keyakinan si pemilik terutama sekali bagi golongan wanita. Namun adakalanya, kurangnya perhatian, masalah persekitaran, stress di tempat kerja, masalah hormon dan kesihatan mengakibatkan rambut bermasalah.

Sering kali kita melihat terutama masalah kebotakan dan keguguran rambut yang berlaku pada usia yang muda. Ini hanya akan menyebabkan individu terbabit sedikit sebanyak hilang keyakinan diri pada ketrampilan diri mereka. Di sini terdapat beberapa kaedah atau petua daripada warisan zaman tok moyang kita yang lalu yang boleh diamalkan dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian untuk menjaga dan mendapatkan sisi rambut yang kita kehendaki.

Bagi mereka yang mahukan rambut lebat dan lembut, penggunaan santan kelapa boleh digunakan. Sebagaimana yang kita ketahui, penggunaan santan kaya dengan belbagai khasiat. Caranya mudah, ambil kelapa tua dan diperah sepekat pekatnya. Biarkan selama sejam sehingga patinya naik dan kemudian barulah disapu pada rambut. Sebaik baiknya penggunaan sikat yang bergigi jarang agar rambut tidak mudah putus semasa disisir dalam proses meratakan pati santan berkenaan. Penggunaan jari juga adalah digalakkan. Selepas dibuat sapuan rata, balut kepala dengan tuala bersih dan diperap selama setengah jam sebelum dibilas sepenuhnya. Lakukan perkara ini sekurang kurangnya sekali seminggu untuk hasil yang cepat dan baik.  

            Bagi mereka yang mengalami masalah rambut kering, hujung rambut yang pecah serta mudah gugur, mereka bolehlah mencuba kaedah rawatan menggunakan minyak kelapa yang diproses sendiri. Perah santan daripada 2 atau 3 biji buah kelapa tua. Ambil pekatan santan tersebut dan dijerang di dalam kuali tebal. Anda dinasihatkan untuk menggunakan dapur kayu kerana proses menghasilkan minyak kelapa ini memakan masa yang lama iaitu hampir sehari suntuk. Minyak yang telah diproses kemudiannya dibiarkan sejuk sebelum dijaram pada kepala.

Selain penjagaan menggunakan santan kelapa, penggunaan minyak bijan juga boleh dicuba untuk melihat keserasian dalam penggunaan. Minyak bijan boleh diamalkan untuk tujuan melebatkan rambut. Untuk mendapatkan hasil yang lebih harum, campurkan minyak bijan tersebut bersama dengan bunga melur atan daun pandan agar mendapatkan rambut yang lebih wangi. Selepas proses diperap, cuci rambut dengan bilasan yang sempurna bagi mengelakkan rambut berbau hapak.

Amalan bagi wanita Jawa, mereka lebih gemar menggunakan abu dari batang padi untuk mencucrambut. Batang padi yang baru selesai dituai, akan dibakar dan direndam semalaman. Hampas tapisan batang padi tersebut yang digunakan untuk mencuci rambut. Seperti biasa, selepas cucian dilakukan, ianya perlulah dibilas dengan bersih bagi mengelakkan berlakunya kegatalan pada kulit kepala.

Begitulah serba sedikit petua atau amalan mengenai penjagaan rambut terutama bagi kalangan para wanita yang telah menjadi amalan warisan melayu zaman berzaman. Bagi yang berminat untuk mencuba, anda bolehlah memilih kaedah atau amalan mana yang lebih bersesuaian, mudah dan serasi dengan anda. Selamat Mencuba!

No comments:

Post a Comment