Thursday 26 April 2012

Sabah – Destinasi Pelancongan Malaysia


Sabah, negeri yang mendapat jolokan sebagai Negeri Di Bawah Bayu yang terletak di Kepulauan Borneo merupakan sebuah destinasi pelancongan terbaik yang terdapat di dalam negara. Kaya dengan bermacam sepsis flora dan fauna serta dihiasi belbagai keindahan alam semulajadi yang menghiasi topografi negeri, membuatkan Negeri Di Bawah Bayu ini sebagai pilihan utama untuk destinasi pelancongan dalam negeri.

Perjalanan yang dimulakan dengan penerbangan AirAsia, tepat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa ( LTAB ) Kota Kinabalu di Terminal 2 yang terletak di Tanjong Aru pada jam 10.30 pagi sebagai sebuah permulaan destinasi pelancongan yang menarik. Kami semua yang seramai  15 orang kemudiannya dibawa untuk menginap di Hotel Promenade yang terletak ditengah – tengah kesibukkan dan kepesatan pembangunan bandaraya Kota Kinabalu. Jarak perjalanan daripada terminal ke pusat Bandar hanya sekitar 25 minit, dan untuk pengetahuan semua, LTAB Kota Kinabalu merupakan satu – satunya lapangan terbang yang terletak dipersisiran pantai di dalam negara ini. Maka sepanjang penerbangan turun, kita akan dapata melihat keindahan persisiran pantai Tg. Aru serta pulau – pulau yang berhampiran yang mana telah di gazetkan untuk dipelihara menjadi destinasi pelancongan dikenali sebagai Taman – Taman Sabah.

Memorial Double Six di Sembulan
Setelah berehat dan menunaikan solat, rombongan dibawa melawat ke Memorial Tun Fuad Stephens, iaitu bekas Ketua Menteri Sabah yang terkorban dalam tragedi kemalangan kapal terbang pada 06 Jun 1976. Tragedi ini juga dikenali dengan gelaran Double Six Crash. Memorial yang terletak di kawasan Sembulan mengimbau kembali memori para pengunjung terhadap peristiwa berdarah yang masih menjadi buah mulut masyarakat di sini. 

Sejurus selepas itu, kesemua ahli rombongan di bawa ke Universiti Malaysia Sabah ( UMS ) yang terletak di kawasan Sepanggar. Universiti yang menjadi lambang kebanggaan rakyat Sabah sebagai gedung para ilmuan menimba ilmu dari pelajar segenap negeri di Malaysia. Universiti ini diberitakan sebagai universiti tercantik di Malaysia buat masa ini. Salah satu daya tarikan di sini selain daripada pusat menimba ilmu ialah terbinanya Pusat Akuarium Terbesar yang memaparkan hidupan laut dan limbungan kapal selam yang difahamkan sedang dalam peringkat kajian ekoran UMS terletak di sebelah limbungan Sepanggar. Lokasi yang berhampiran laut telah membolehkan UMS bertindak sebagai pusat pengajian yang berteraskan sains aktuari.

Sekembali kami daripada UMS, berehat sebentar untuk tujuan membersihkan diri dan solat, pada sebelah malamnya pula kami disajikan dengan hidangan makan laut yang istimewa di Restoran Kampung Nelayan yang terletak di Bukit Padang. Belbagai jenis makan laut yang terhidang dengan sumber hidupan yang asli serta segar cukup untuk membangkitkan selera. Sepanjang menjamu selera, para pengunjung dihiburkan dengan pertunjukkan pelbagaian kebudayaan Negeri Sabah yang menjadi ‘trademark’ restoran ini. Bagi pengunjung yang ingin mencuba tarian buluh atau kepandaian menyumpit, peluang turut diberikan secara percuma. Sesuatu yang mengejutkan ialah kadar bil makanan ‘seafood’ di sini adalah jauh lebih murah jika dibandingkan di Semenanjung Malaysia dan makanannya pula, wow! Lazat!

Rekod Pencapaian Pendakian Gunung Kinabalu
Titipan perjalanan dimulakan lagi pada keesokkan paginya seawal jam 7 pagi untuk trip perjalanan ke Kundasang. Jarak perjalanan sekitar 3 jam daripada bandar Kota Kinabalu yang turut melalui Tuaran yang terkenal dengan Jambatan Tamparuli, tetapi kini jambatan tu hanya tinggal kenangan kerana pengguna sudah pun menggunakan jambatan konkrit. Melalui Nabalu sebuah kawasan peranginan yang sejuk, akan kelihatan puncak Gunung Kinabalu dari kejauhan yang menyapu awan. Singgah sebentar di pekan Kundasang sebuah pecan kecil yang menjual hasil tani segar kerana Kundasang merupakan tempat tanah tinggi seperti di Fraser Hill dan Cameron Highlands. Akhirnya kami semua selamat tiba di kaki Gunung Kinabalu. Kedinginan suasana amat terasa walaupun jam telah menunjukkan hampir pukul 12.00 tengahari.

Selamat Datang Kolam Air Panas
Habis meninjau di kawasan persekitaran, para pengunjung di bawa ke Ranau yang terkenal dengan Kolam Air Panas Hotspring. Kolam air panas ini dibangunkan daripada sumber semulajadi. Kami semua tidak melepaskan peluang untuk mencuba kehangatan mandian yang diberitakan baik untuk penyakit kulit seperti panau, sopak dan sebagainya. Ratusan pengunjung lain yang turut hadir, menjadikan suasana kawasan berkenaan sedikit riuh dengan hilai tawa anak – anak kecil.

Perjalanan pulang ke Kota Kinabalu sedikit sunyi kerana kebanyakan kami keletihan dan lebih selesa untuk melelapkan mata disepanjang perjalanan ekoran kepenatan menempuh seharian perjalanan yang memang memenatkan tetapi cukup cukup menyeronokkan.

Setibanya di hotel, kami semua sepakat untuk hanya berehat di dalam bilik masing – masing dan merayau – rayau di kawasan berhampiran secara bersendirian. Aktiviti bebas. Ini kerana masing – masing masih lagi kepenatan dan tidak mempunyai selera untuk makan malam. Senang cerita, ramai yang memilih untuk segera tidur.

sempat membeli belah di Pasar Philiphine
Hari terakhir percutian di Sabah kami habiskan dengan membeli belah barangan di sekitar bandar. Sudah semestinya lokasi wajip yang perlu dikunjungi adalah Pasar Besar Kota Kinabalu. Namun jangan hairan jika pasar berkenaan tidak begitu ‘familiar’ dikalangan penduduk di sini. Ini kerana di Sabah ia lebih dikenali dengan nama Pasar Philiphine. Di sini serba serbinya tersedia, dan bagi kaum Hawa sudah pastilah kepelbagaian mutiara yang dijual serta pakaian menjadi tarikan utama. Namun awas, sekiranya anda dikesan sebagai orang luar, anda tidak akan menikmati harga yang sepatutnya.

Trip perjalanan berakhir pada jam 2.00 petang, dan kami sekali lagi diterbangkan daripada LTAB Kota Kinabalu tapi kali ini berpeluang mencuba kecanggihan di Terminal 1. Penerbangan pulang adalah menggunakan perkhidmatan FireFly. Sepanjang penerbangan, ternyata kami semua puas dengan perjalanan trip pada kali ini. Diharap dikemudian hari akan berpeluang untuk mengunjungi bandar Tawau dan Semporna yang terkenal dengan Pulau Mabul dan Sipadan. Aramaitiii Sabah.

No comments:

Post a Comment